Setelah keputusan Pilihan Raya
Umum ke 13 diumumkan, rakyat Kelantan terus memberi mandat kepada kepimpinan
Ulama yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Walaupun pelbagai pendekatan dan kempen yang dilakukan oleh Barisan Nasional
khususnya UMNO dan juga melalui Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan yang pro
Barisan Nasional, namun gagal menewaskan kerajaan PAS Kelantan.
Bukan singkat
masanya kempen dilakukan dan bukan sedikit wang ringgit yang dicurahkan untuk
menumbangkan kerajaan PAS Kelantan. Namun usaha ini tetap gagal, bukan sekadar
tahun 2013 bahkan sejak dari 1990 lagi cubaan untuk merampas Kelantan
dilakukan. Tok Guru juga berhadapan dengan tiga Pengerusi Barisan Nasional yang
cuba untuk menumbangkannya di Kelantan iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun
Abdullah Ahmad Badawi dan kini Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, semuanya
gagal menumbangkan Tok Guru.
Akhirnya setelah
keputusan diketahui tiba-tiba warga Malaysia khususnya warga Kelantan dikejutkan
dengan keputusan Tok Guru untuk tidak lagi memimpin Kelantan dan memberi laluan
kepada Timbalannya untuk meneruskan usaha untuk memartabatkan syiar Islam di bumi
Malaysia, khususnya Kelantan. Ketika mengetahui Tok Guru tidak lagi menjadi
Menteri Besar Kelantan, sebak dan bagai tidak percaya. Semasa pulang mengundi
tidak kedengaran pun berita ini di kalangan rakan-rakan. Langsung tidak
terlintas. Orang lain saya tidak tahu.
Pada hemat saya,
Tok Guru dihati rakyat Kelantan adalah sesuatu yang amat istimewa. Tok Guru
dilihat sebagai salah seorang pemimpin yang mempunyai personaliti unggul, dan sukar
didapati dalam diri pemimpin-pemimpin hari ini.
Tok Guru apabila
diserang tidak cepat melatah. Bahkan jika dapat saya katakana ibarat bermain layang-layang.
Tok Guru membenarkan dirinya diserang, jika layang-layang itu dilepaskan
talinya dan layang-layang itu kelihatan hayut terbuai-buai di udara. Apabila
Tok Guru menjawab serangan ia ibarat menarik tali sehingga layang-layang itu
naik ke kiri dan ke kanan tanpa dapat beruat apa-apa melainkan menurut sahaja
sehingga mematikan hujah orang yang menyerang.
Sering kali saya
terbaca kenyataan Tok Guru, hujah lawan hujah. Untuk memiliki kemampuan berhujah
maka pembacaan dan menganalisis bahan yang dibaca perlu dilakukan. Ini yang
membezakan orang yang berilmu dan tidak berilmu.
Sepanjang
menjawat jawatan sebagai Menteri Besar, Tok Guru sebenarnya cuba mengajar atau
mentarbiah rakyat Kelantan agar mengambil Islam sebagai cara hidup walau dalam
apa pun bidang.Dari sekecil-kecil hal sehingga ke besar-besar hal. Bahkan Tok
Guru sentiasa meletakkan apa yang dilakukan seharian ada yang memerhati dan ada
pembalasannya nanti. Justeru, setiasa apa yang dilakukan dalam kehidupan
seharian adalah berkaitan dengan perjalanan bertemu Maha Pencipta.
Dalam usaha
mendidik ini, Tok Guru tidak menekan rakyat bahkan membiarkan usaha dakwah itu
difahami dan diterima. Pendekatan secara muhibah dan berterusan ini akhirnya
memperlihatkan penerimaannya bukan sahaja di kalangan masyarakat Islam sendiri
bahkan masyarakat bukan Islam terhadap Islam. Hal ini amat bertepatan dengan
kedudukan Islam sebagai agama persekutuan yang sewajarnya diberi faham bukan
kepada masyarakat Islam semata-mata bahkan kepada masyarakat bukan Islam.
Bukannya menakut-nakutkan dan mengesapingkan mereka dengan Islam. Tanpa
kefahaman masyarakat bagaimana Islam itu dapat diletakkan di tempat yang
sewajarnya.
Oleh yang
demikian, usaha kerajaan Kelantan untuk menubuhkan Institut Pemikiran Tuan Guru
Nik Abdul Aziz amat dialu-alukan. Institut ini sewajarnya bukan sekadar untuk
mengenang jasa Tok Guru bahkan ia sewajarnya menjadi sebuah Institut yang
berusaha untuk meletakkan Islam itu di dalam hati sanubari dan diterjemahkan
dalam kehidupan setiap rakyat. Dengan ini hasrat memartabatkan Islam yang
diperjuangkan oleh PAS akan diteruskan oleh kepimpinan yang akan datang tanpa
mengira parti mana yang memerintah nanti. Insya Allah.
Sebagai rakyat Kelantan saya mengucapkan terima kasih
atas didikan Tok Guru. Sebenarnya banyak lagi jasa yang dicurahkan dan tidak
mampu untuk dicoretkan di sini. Semoga Allah membalas jasa mu Tok Guru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan