Ahad, 25 Ogos 2013

Kibarkan Jalur Gemilang

Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan melihat keperluan untuk diwujudkan undang-undang bagi mewajibkan setiap premis dan bangunan kerajaan atau swasta mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan mula mendapat respons daripada warga Malaysia. Ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak. Masing-masing dengan alasan tersendiri.

Jalur Gemilang merupakan nama bendera Malaysia adalah simbol negara. Ia merupakan identiti bagi Malaysia. Bahkan bendera negara dikategorikan di bawah symbolic patriotism bagi pengkaji-pengkaji patriotisme.

Persoalannya apakan dengan tidak mengibarkan Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan itu menggambarkan seseorang itu tidak patriotik. Sebaliknya, apakah dengan memasang bendera itu menunjukkan seseorang itu patriotik. Bagi penulis patriotisme merupakan sesuatu yang abstrak. Semangat patriotisme itu hanya akan diukur apabila kita berhadapan dengan sesuatu krisis.

Pernah penulis mendengar salah seorang pemimpin kesatuan, di saat negara mengalami masalah ketidaktentuan ekonomi pada tahun 2009. Pemimpin kesatuan itu dengan lantang akan memperjuangkan hak ahlinya agar gaji tidak dipotong. Apabila kita berhadapan dengan situasi sebegini maka inilah ujian kepada patriotisme warga kita. Itu belum sampai ke tahap kerajaan meminta sumbangan daripada rakyatnya untuk memulihkan ekonomi negara.

Hari ini pun di sekolah dan di institut pengajian tinggi pun diadakan sambutan bulan kemerdekaan. Maka berkibar megahlah Jalur Gemilang di bangunan-bangunan milik kerajaan. Persoalannya apakah yang terlintas di hati para pekerjanya semasa melihat Jalur Gemilang. Mungkin akan ada sesetengah yang berkata, “Banyaknya bendera” tanpa memahami makna di sebaliknya. Maka kurikulum perlu dibentuk agar penghayatan kepada simbol-simbol negara ini diperjelaskan bukan sahaja memahami simbol dan maknanya semata-mata bahkan juga cerita di sebaliknya perlu diketengahkan.

Penulis ingin membawa kepada satu isu yang mungkin kita sedari dan mungkin tidak. Sejak kebelakangan ini apabila tiba sambutan bulan kemerdekaan, maka banyaklah kenderaan yang memasang bendera. Apakah tindakan ini merupakan tindakan atas kesedaran ataupun trend yang menjadi ikutan masyarakat. Jika ia sekadar trend yang menjadi ikutan maka tidak hairanlah di saat kita ingin memupuk semangat patriotisme dengan mengibarkan bendera sebenarnya dalam tidak sedar kita menghina negara kita sendiri. Bendera yang dipasang jatuh di jalan raya dan dipijak-pijak oleh kenderaan rakyatnya sendiri. Bukankah jika orang lain memijak bendera kita, kita akan memarahinya. Itulah kita sebenarnya. Dahulu dalam peperangan, jika pemegang benderanya gugur, maka akan ada orang lain yang akan mengangkatnya.

Begitu juga dengan memasang bendera di bangunan-bangunan. Ada bendera yang dipasang tanpa diturunkan dan tanpa diambil peduli pun. Maka warna biru bertukar menjadi ungu. Apakah warna ungu merupakan salah satu warna Jalur Gemilang? Bukan sahaja warna semakin usang bahkan bendera koyak rabak dan ada juga yang tinggal separuh. Jika inilah mentaliti terhadap bendera negara, baik tidak usah digantung kerana ia lebih memalukan dari menjadi kebanggaan.

Jika hasrat Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk mengadakan undang-undang tentang mengibarkan Jalur Gemilang, ia harus diperhalusi agar simbol negara ini terus dipelihara sebaik-baiknya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan